ECER meterai MoU RM9.9b

KUALA LUMPUR 7 Ogos – Perjanjian dan memorandum persefahaman (MoU) yang dimeterai antara Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) dan 14 syarikat asing serta tempatan di bangunan Parlimen hari ini mencatatkan nilai pelaburan sebanyak RM9.9 bilion.

Majlis menandatangani perjanjian dan MoU itu disaksikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak selepas beliau mempengerusikan mesyuarat Majlis Pembangunan ECER (ECERDC).

Yang turut hadir, Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Johari Abdul Ghani; Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai; Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman; Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob dan Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC, Datuk Seri Jebasingam Issace John.

Sementara itu, Jebasingam berkata, pelaburan yang di­meterai dalam MOU tersebut bakal mewujudkan lebih 4,000 peluang pekerjaan baharu dan peluang keusahawanan lebih besar untuk wilayah berkenaan.

“ECER semakin hampir mencapai sasaran pelaburan menjelang 2020, iaitu sebanyak RM110 bilion susulan pemeteraian perjanjian dan MoU bernilai RM9.9 bilion hari ini dalam sektor utama seperti pembuatan, pelancongan, ­bioekonomi serta hartanah.

“Ini sekali gus menjadikan jumlah pelaburan komited di ECER berjumlah RM109.15 bilion,” kata­nya dalam satu kenyataan selepas majlis berkenaan.

Menurutnya, sebahagian besar da pelabur tempatan terbabit terdiri daripada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang menjadi tulang belakang ekonomi tempatan terutamanya di luar bandar.

Dalam perkembangan berkai­tan, katanya, program transformasi ECER telah memberi impak positif terhadap kehidupan rak­yat dengan mewujudkan lebih 140,000 pekerjaan dan 26,000 peluang keusahawanan di kawasan bandar serta luar bandar.

Katanya, pertumbuhan pelaburan di ECER sepanjang 10 tahun lalu menyumbang secara signifikan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) wilayah itu yang mening­kat sebanyak RM9.7 bilion atau 1.8 peratus daripada kadar pertumbuhan sebanyak 3.9 peratus sejak 2007.

“Pelaburan langsung domestik (DDI) yang merupakan teras pelaburan keseluruhan wi­layah ECER menyumbang seba­nyak 52 peratus daripada jumlah pelaburan di wilayah berkenaan dengan pelaburan langsung asing (FDI) sebanyak 48 peratus,” ujarnya.

Jebasingam menambah, sehingga Jun lalu, sebanyak 106,210 isi rumah daripada populasi ECER menerima manfaat daripada pembangunan modal insan ECERDC dengan 97 peratus daripada peserta berasal daripada golongan berpendapatan rendah (B40).

Source: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/ecer-meterai-mou-rm9-9b-1.512341