Jambatan Pontian Besar dinaik taraf babitkan kos RM38.04 juta
Pontian: Kerajaan Pusat meluluskan peruntukan RM38.04 juta bagi menaik taraf dan melebarkan Jambatan Pontian Besar daripada dua lorong kepada empat lorong.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, berkata pembinaan jambatan baharu di Pontian Besar adalah projek menaik taraf dan pelebaran dengan tempoh pelaksanaan selama 36 bulan bermula 13 Januari lalu serta dijadualkan siap pada Januari 2029.
“Projek membabitkan kerja pelebaran jambatan daripada dua lorong kepada empat lorong dalam usaha melancarkan aliran trafik, selain menyediakan laluan selesa kepada pengguna jalan raya.
“Jambatan Pontian Kecil yang sudah siap dan dibuka kepada pengguna jalan hari ini pula diluluskan di bawah program penggantian jambatan sempit dan uzur menerusi Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) dengan kos RM23.13 juta,” katanya pada Majlis Pecah Tanah dan Penyerahan Projek Siap di Tapak Projek Jambatan Pontian Besar, di sini, hari ini.
Hadir sama, Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan; Pengarah JKR Johor, Ir Zainal Tumian dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulai Sebatang, Hasrunizah Hassan.
Katanya, pelaksanaan projek berkenaan mencerminkan komitmen pihak kerajaan dalam memastikan tahap keselamatan dan keselesaan pengguna jalan raya diutamakan dengan menaik taraf infrastruktur jalan sedia ada terutama jambatan uzur, sempit serta berisiko.
“Kementerian Kerja Raya (KKR) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) terus komited memperkukuhkan infrastruktur jalan bagi memastikan aspek keselamatan, keselesaan dan kerancakan trafik sentiasa ditingkat.
“Selain itu, pelaksanaan projek ini khususnya di daerah Pontian menunjukkan keutamaan kerajaan menyediakan jalan lebih selamat dan berkualiti demi kesejahteraan rakyat serta pembangunan ekonomi setempat,” katanya.
Sementara itu, pengguna jalan, Mohammad Noh Ali, 73, berkata projek jambatan di Pontian Besar itu bakal memberi keselesaan kepada orang ramai, berbanding keadaannya sekarang yang agak membahayakan terutama jika berlaku kemalangan.

